Diantara 20 sifat wajib yang perlu kita ketahui bagi umat islam ialah seperti berikut.
1.Wujud
Ertinya Allah itu ada. Mustahil Allah
itu tiada dan bukti Allah itu ada ialah adanya alam ini. Tidak mungkin
adanya sesuatu itu tanpa ada yang mengadakannya atau menjadikannya.
2.Qidam
Ertinya Allah itu tidak ada permulaan
bagiNya. Mustahil Allah itu ada permulaan bagiNya, kerana kalau Allah
itu ada permulaan maka samalah Ia dengan makhluk. Jika sama dengan
makhluk maka Ia bukan Tuhan.
3. Baqa
Ertinya Allah itu kekal selama-lamanya.
Mustahil Allah akan binasa kerana jika Ia binasa maka alam ini tidak
akan sempurna dan akan sama turut binasa. Allah kekal selama-lamanya
kerana Ia tidak dijadikan tetapi Ia yang menjadikan sesuatu dan
menyempurnakannya.
4. Mukhalafatuhu Lil Hawadis
Ertinya Allah tidak menyerupai dengan
makhluk. Mustahil Allah menyerupai makhluk kerana Ia yang menjadikan
makhluk, antara yang menjadikan dengan yang kena jadi sudah pasti
berlainan.
5. Qiyamuhu Binafsih
Ertinya Allah tidak memerlukan kepada
yang lainnya. Mustahil Allah memerlukan kepada yang lainnya kerana jika
Allah memerlukan kepada yang selainnya maka sudah tentu Ia lemah, tidak
sempurna dan Ianya bukan Tuhan.
6. Wahdaniyah
Ertinya Allah itu Maha Esa. Mustahil
Allah berbilang-bilang (banyak) kerana jika Ia berbilang sudah tentu
akan terdapat perbezaan pendapat serta akan timbul pula perselisihan
faham yang mengakibatkan kebinasaan alam ini.
7. Qudrat
Ertinya Allah itu Maha Berkuasa.
Mustahil Allah itu lemah kerana jika Ia lemah maka sudah pasti alam ini
tiada dan Ia bukan Tuhan.
8. Iradat
Ertinya Allah menetapkan sesuatu
mengikut kehendakNya. Mustahil Allah dipaksa kerana jika dipaksa Ia
adalah lemah dan Ianya bukan Tuhan.
9. Ilmu
Ertinya Allah itu berpengetahuan. Ia
mengetahui keseluruhannya sama yang telah dijadikanNya atau yang bakal
dijadikanNya. Mustahil Allah itu tidak mengetahui atau bodoh kerana
jika Ia bodoh sudah pasti Ia tidak dapat mengatur alam ini. Kejadian
alam yang sempurna ini membuktikan Allah itu berpengetahuan yang tiada
tolok bandingannya.
10.Hayat
Ertinya Allah itu bersifat dengan
hidup. Mustahil Allah itu mati, jika Ia mati nescaya akan rosak
binasalah alam ini kerana itada yang hendak mengaturkannya.
11. Sama’
Ertinya Allah mempunyai sifat
mendengar. Mustahil Allah itu pekak atau tuli kerana pekak adalah sifat
kekurangan. Maha suci Allah dari sifat kekurangan tersebut.
12. Basar
Ertinya Allah bersifat melihat.
Mustahil Allah itu buta kerana buta itu sifat kekurangan. Maha suci
Allah dari sifat kekurangan.
13 Kalam
Ertinya Allah itu bersifat dengan
berkata-kata atau berfirman. Mustahil Allah bisu kerana jia Ia bisu
sudah pasti Ia tidak dapat memerintah dengan baik. Bukti Allah bersifat
dengan berkata-kata itu seperti mana firmanNya yang terkandung di dalam
kitab al Quran. Al Quran yang dibaca dan ditulis di atas mashaf itu
adalah gambaran dari sifat Kalam yang Qadim yang berdiri atas zat yang
Qadim iaitu zat Allah.
14. Kaunuhu Qaadiran
Ertinya Allah itu sentiasa bersifat
dalam keadaan berkuasa. Mustahil Allah dalam keadaan lemah. Oleh
kerana Allah mempunyai sifat kuasa maka Ia tetap dalam keadaan berkuasa
dan tidak pernah berhenti walau sekejap.
15. Kaunuhu Muriidan
Ertinya Allah itu bersifat sentiasa
dalam keadaan menghendaki, mustahil Ia dalam keadaan dipaksa. Oleh
kerana Allah mempunyai sifat kehendak maka Ia sentiasa dalam keadaan
menghendaki.
16. Kaunuhu ‘Aaliman
Ertinya Allah itu sentiasa dalam keadaan
mengetahui, mustahil Ia dalam keadaan tidak mengetahui. Oleh kerana
Allah mempunyai sifat Ilmu maka Ia tetap sentiasa bersifat dalam keadaan
berilmu.
17. Kaunuhu Hayyan
Ertinya Allah itu bersifat tetap dalam
keadaan hidup, mustahil Ia dalam keadaan mati. Oleh kerana Allah
mempunyai sifat Hayat maka Ia tetap sentiasa dalam keadaan hidup.
18. Kaunuhu Samii’an
Ertinya Allah itu sentiasa tetap dalam
keadaan mendengar, mustahil ia dalam keadaan tuli. Oleh kerana Allah
mempunyai sifat mendengar maka Ia tetap sentiasa dalam keadaan
mendengar.
19. Kaunuhu Basiiran
Ertinya Allah itu sentiasa tetap dalam
keadaan melihat, mustahil Ia dalam keadaan buta. Oleh kerana Allah
mempunyai sifat melihat maka ia sentiasa tetap dalam keadaan melihat.
20. Kaunuhu Mutakalliman
Ertinya Allah itu sentiasa tetap
bersifat dalam keadaan berkata-kata, mustahil Ia dalam keadaan bisu.
Oleh kerana Allah mempunyai sifat berkata-kata maka Ia tetap dalam
keadaan berfirman.
By : Zaenuddin






0 comments:
Posting Komentar